Wahai penghibur
,
Umpama awan
berderai menjadi hujan tak beratap
Bagaikan mentari
menyinar tiada dinding sempadan,
Bak tiupan
angin yang tiada pohon penghalang,
Itulah resam alam
yang gah dengan kemurahan,
Oleh
penciptaNya yang Maha Pemurah
Maka jangan
dilupakan kau jua ciptaanNya,
Yang dihadiahi dengan
hati mulia,
Tiada setitis
air kering biarpun dikau hampar selautan kasih buat insan
Tiada setitik
gelap biarpun dikau nyalakan unggun harapan buat yang tersayang
Tiada sesaat
pun nafasmu sesak biarpun dikau layangkan sejuta senyuman,
Kerana hatimu
umpama taman wadah mekarnya bungaan berbau ikhlas dan semangat
Andaikata,
Langitmu
ketandusan gumpalan awan kasih,
Mentarimu
gelincir membawa malap harapan ,
Udara bertiup
angin kepiluan,
Kau,
Harus berlari
menuju ke gerbang pelangi,
Kerana yang
pasti ia tiada paksi di muka bumi,
Untuk engkau
tembusi dan berhenti,
Namun saat kau
terus mendongak dan melangkah ke destinasi ,
Kau sudah pasti
sentiasa ditemani rencah ceria pelangi ciptaan Illahi,
Walaupun kakimu
memijak tanah dan duri,
Kerana kau akan
mula mengerti,
Dunia ini
adalah kembar pelangi,
Berwarna-warni
dan sementara pasti,
Penghujung
hanyalah bertemu Illahi.
Potongan sajak dari novel " Mata Hati"