Wednesday 25 November 2015

Cerpen: Goreng Pisang Aku lah! Sangkaku...

Assalamualaikum,

Cerpen yang mudah, ringan dan konflik yang kurang kompleks sesuai untuk semua warga manusia yang dikurniakan hati, perasaan dan akal untuk bersangka.

Cuti menjelang tiba, Marisa yang makan gaji di kota besar membuat satu keputusan yang mulia apabila dia berniat untuk pulang ke kampung halamannya yang jauh di desa. Gembira hatinya tiada terkata walaupun dia tahu perjalanannya akan mengambil masa yang agak lama, tetapi keterujaan untuk melihat wajah dan bermanja dengan kedua orang tuanya telah melenyapkan segala kegelisahan dan kepenatan yang dia tahu dia akan hadapi.

Menuju ke stesen bas sejurus setelah habis kerja, Marisa meninjau kawasan persekitaran stesen bas tersebut untuk mencari sebarang kedai menjual makanan yang boleh dia singgah untuk beli makanan sebagai alas perut sebelum naik bas.
" Bau pisang goreng, mmmm... sedap ni" bisik hati Marisa.
" Makcik bagi saya pisang goreng 2 ringgit" minta Marisa pada mak cik tua yang sedang termenung menunggu pelanggannya.
" 2 ringgit nak, ambiklah lebih sikit panas lagi ni, sedap. boleh kongsi dengan kawan-kawan." Ramah mak cik goreng pisang tersebut berbicara.
" Tak apalah mak cik, saya seorang je ni. Nak makan sikit sementara tunggu naik bas" Balas Marisa.
" Alhamdulillah, anak muda sekarang tidak lupa balik kampung." kata mak cik tersebut sambil menghulurkan seplastik goreng pisang kepada Marlisa.
Selesai membayar Marisa mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi dengan satu ukiran senyuman buat mak cik tersebut.

Jarum jam ditangan Marisa menunjukkan masa masih awal. Bas untuk dinaiki juga belum tiba. Marisa melepaskan lelah dia disebuah perhentian bas yang berdekatan. Dilabuhkan punggungnya di bahagian tengah tempat duduk panjang  yang disediakan di perhentian tersebut. Tidak lama kemudian seorang lelaki berpakaian sempoi memakai seluar jeans dan t-shirt melintas dihadapan Marisa dan lalu terus duduk disebelahnya. Jarak di antara Marisa dan lelaki tersebut hanyalah sehasta.

" Kenapa mamat ni duduk rapat-rapat dengan aku. Duduk jauh sikit tak boleh ke?" desir hati Marisa.
Marisa akhirnya membuat keputusan untuk buat selamba dan buat tidak tahu pada lelaki tersebut.

" Selagi dia tidak buat pelik-pelik aku kena steady je. Lagipun ramai orang kat sini " suara hati Marisa. Dengan perut yang lapar, Marisa segera mencapai goreng pisang yang berada di dalam plastik yang terletak diantara dia dan lelaki tersebut. Di ambil satu goreng pisang dan dimasukkan ke dalam mulutnya.

" Wah, sedap jugak goreng pisang mak cik ni. Manis dan rangup." riang hati Marisa sambil menguyah hancur makanan dalam mulutnya.

Sedang enak makan, anak mata Marisa tertarik pada satu pergerakan  aneh yang datang daripada lelaki  di sebelahnya.

Sambil berkerut namun berpura-pura tidak melihat lelaki disebelahnya Marisa bermanalog " Apa lelaki ni buat? kenapa dia ambik goreng pisang aku? Tak minta pulak tu. Ni aku belilah. Kenapa boleh buat suka hati je. Macam pencuri. "

Goreng pisang yang tadi manis dan rangup dalam mulut Marisa kini seakan menjadi kelat dan lembik selepas menonton perbuatan lelaki tersebut mengambil sebiji goreng pisang dari dalam plastik tersebut. Marisa hanya berdiam diri, namun hatinya bagai nak membuak kemarahan.  Pada Marisa itu adalah satu tindakan yang tidak sopan. Namun dalam dirinya masih ada kesabaran jadi mengambil keputusan untuk menutup mata atas tindakan lelaki tersebut.

Tetapi tidak sampai 5 minit berlalu, sekali lagi lelaki itu memanjangkan tangan dan mencapai satu lagi pisang goreng. Kali ini lelaki itu sempat menghalakan mukanya pada Marisa lalu mengangkat sebelah keningnya sambil mengucapkan "makan". Marisa yang terpandang wajah lelaki itu hanya membuat muka tegas.

"Wah melampau gila lelaki ni. Makan aku punya makanan tanpa izin buat macam dia punya. Adakan manusia macam ni. Sabar je aku. Nasib baik aku dah makan laju-laju. Dapat aku makan banyak daripada dia. "

Dalam detik kemarahan menyelubungi Marisa, bas yang perlu dinaiknya tiba di stesen. Tanpa melengahkan masa lagi, Marisa sepantas kilat mendekati bas dan menyelesaikan urusan tiketnya supaya dapat menaiki bas tersebut dengan cepat.

" Akhirnya, dapat aku jarakkan diri dari lelaki pelik tak beradap tu" hela Marisa sebaik selesai menghenyakkan punggungnya di atas sofa bas.

Sejurus sahaja selepas bas bergerak dari stesen, Marisa segera mencapai dan membuka beg sandangnya untuk mengambil 'headphone' dengan niat untuk mendegar radio sebagai penemannya dalam perjalanan yang panjang ke desa. Namun apabila dibuka beg, mata dia terbeliak dan Marisa hampir menjerit  " Goreng pisang siapa ni??".

Dilihat dalam begnya ada seplastik goreng pisang yang tidak bersentuh lagi.  Jantungnya bagai terhenti sedetik terhenti melihat pisang  goreng yang dibeli masih diikat kemas dalam plastik ada dalam begnya. Berpinar-pinar akal Marisa memikirkan perkara yang berlaku sebenarnya.

"Aku makan goreng pisang siapa?"



hah .. pada pendapat anda apa yang berlaku sebenarnya? Pengajarannya?

 
   


2 comments: